Akram Tidak Sabar Menanti Bahang Kehangatan Liga Super

SETAHUN bermain di Liga Premier terbukti berbaloi bagi Akram Mahinan selepas membantu Kuala Lumpur kembali ke Liga Super bagi musim 2021.

Akram, 27, sebelum ini telah merasakan bahang kehangatan cabaran Liga Super bersama Johor Darul Ta’zim, Kedah dan PKNS dan kini mendapat peluang untuk menunjukkan bakat dengan Kuala Lumpur pula di liga terunggul Malaysia.

“Saya bersyukur dapat bantu KL ke Liga Super selepas setahun dalam Liga Premier,” kata Akram yang membuat 10 penampilan untuk Kuala Lumpur pada 2020. “Saya telah buat yang terbaik dan pada 2021 ini pastinya satu cabaran yang baru untuk kekal di Liga Super dengan pasukan-pasukan yang lebih kuat. Saya harap dapat memberi sumbangan yang lebih daripada musim lalu.”

Akram tidak sabar untuk kembali berlatih bersama rakan-rakan sepasukan pada Tahun Baru, apa lagi dengan kehadiran pemain-pemain baru seperti Safee Sali dan Hadin Azman manakala pemain-pemain berpengalaman seperti Shukor Adan dan Indra Putra Mahayuddin kekal untuk semusim lagi.

“Suasana di KL seronok untuk main bola bersama dengan pemain senior lain dan tambah seorang lagi. Dengan kehadiran mereka, kita dapat belajar dan dapat ilmu,” jelas Akram.

“Sebelum ini saya pernah main dengan Shukor dan Indra, jadi saya tahu macam mana mereka boleh bertahan begitu lama. Jadi saya fikir, kenapa tidak sambung setahun lagi dan menimba ilmu? Tambahan, saya rasa KL mampu memberi saingan baik pada 2021 sambil menjaga kebajikan pemain dengan lebih baik.”

Akram merasakan pembaharuan yang dilakukan oleh ketua pegawai eksekutif baru Kuala Lumpur United Football Club, Stanley Bernard, bakal memberi nafas baru kepada pasukan yang bersejarah ini.

“Dengan kemasukan CEO baru dan cara dia membentuk pasukan, saya rasa KL boleh mencapai lima teratas,” kata Akram. “Dengan pemain-pemain yang ada saya rasa kita mampu untuk bersaing dan pergi jauh dengan gabungan pengalaman pemain-pemain senior dan pemain-pemain muda yang ada.”

Tumpuan Akram adalah kepada Kuala Lumpur sepenuhnya tetapi pemain tengah ini juga mengintai tempat di pasukan kebangsaan, yang diwakilinya sebanyak 26 kali dan terakhir pada 2018.

“Saya kena kerja keras, saya tahu, dan InsyaAllah, mesti ada rezekinya,” kata Akram. “Untuk 2021, saya rasa ini ialah tahun yang saya akan bangkit dengan berkerja lebih keras dan dengan semangat baru.”

Share this post

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin
Share on print
Share on email

News

Super League

PEMAIN MUDA KL SAMBUT BAIK KEHADIRAN HODAK

Super League

DA SYLVA SET TO STRIKE FEAR IN DEFENCES

Super League

SEAN INTAI AKSI LIGA SUPER YANG PERTAMA

Scroll to Top