Dr Jozef Venglos

DR JOZEF VENGLOS: JASAMU SENTIASA DIKENANG

Dr Jozef Venglos, jurulatih pertama yang membawa kejayaan bagi Kuala Lumpur di pertengahan 1980-an, meninggal dunia pada Rabu. Beliau berumur 84 tahun.

Persatuan Bolasepak Slovakia mengumumkan pemergian Venglos pada Rabu tanpa memberi sebab kematian. Persatuan tersebut berkata “Venglos adalah personaliti terbesar bolasepak Slovakia.”

Venglo, , ikon pasukan Kuala Lumpur, juga pernah mengendalikan pasukan kebangsaan Czechoslovakia, Slovakia, Malaysia, Oman dan Australia selain daripada kelab Liga Perdana Inggeris, Aston Villa dan kelab Liga Perdana Scotland, Celtic.

Beliau dilantik sebagai jurulatih oleh presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (PBKL), Allahyarham Tan Sri Elyas Omar pada 1985, selepas diperkenalkan oleh pengarah teknikal PBKL ketika itu, S. Subramaniam.

Venglos terus memperkenalkan teknik kejurulatihan moden yang mengubah nasib Kuala Lumpur, yang ketika itu bermain di bawah nama Wilayah Persekutuan, dari pasukan yang tidak dipandang kepada pasukan yang digeruni bukan sahaja di Malaysia tapi juga di rantau Asia.

Venglos melakar namanya ke dalam sejarah Kuala Lumpur dengan membimbing pasukan ibukota ke perlawanan akhir Piala Malaysia pada 1985 sebelum memenangi kejuaraan pertama mereka iaitu Piala Liga pada 1986. Kuala Lumpur menjadi juara selepas mengharungi 14 perlawanan tanpa kalah sebelum tewas 1-0 kepada Singapura dalam perlawanan terahkir liga yang tidak bermakna.

Kedudukan Piala Liga 1986 sebelum perlawanan terakhir menentang Singapura

Di bawah Venglos, Kuala Lumpur menjadi pasukan yang disegani ramai sebelum diambil alih oleh Chow Kwai Lam dan memenangi tiga Piala Malaysia berturut-turut dari 1987 ke 1989 selain Piala Liga pada 1988.

Falsafah permainan yang diterapkan oleh Venglos, seperti bermain dengan hantaran pendek dan membentuk serangan bermula dari bahagian pertahanan, menjadi DNA Kuala Lumpur di mana 10 piala besar termasuk tiga Piala FA dan dua kejuaraan Kejohanan Kelab Asean dimenangi dalam tempoh 15 tahun.

Venglos juga memperkenalkan tiga undang-undang yang harus dipatuhi pemain-pemain: i. Tidak boleh keluar lewat malam, ii. Pemain harus banyak bergaul sesama sendiri untuk membina semangat sepasukan, dan iii. Lebih banyak makan vitamin dan amalkan diet yang seimbang.

Dalam dua musim di bawah Venglos, Kuala Lumpur menang 24, seri lima dan kalah sembilan perlawanan sambil menjaringkan 75 gol dalam 38 perlawanan.

Selepas meninggalkan Kuala Lumpur, Venglos dilantik sebagai jurulatih pasukan kebangsaan di pertengahan 1986 dan membimbing Malaysia memenangi Pestabola Merdeka pada tahun itu.

Mat Zan Mat Aris, pemain kaki besi bagi Kuala Lumpur dan Malaysia, mengingati Venglos sebagai jurulatih yang membawa perubahan ketara kepada arena bolasepak Malaysia dengan cara kejurulatihan moden dan berdasarkan sains.

“Orang sibuk perkatakan possession football sekarang, tapi KL dari dulu lagi dah main macam itu. Mana pernah KL lambung bola saja,” kata Mat Zan, yang membuat lebih dari 200 penampilan untuk Kuala Lumpur dari 1980 sehinggan 1992.

“Cara Venglos melatih pasukan memang berbeza pada masa itu dengan penggunaan sains. Maklumlah, dia bawa Czechoslovakia ke Piala Dunia dua kali. Jadi, dia memang ada banyak pengalaman. Venglos juga handal membuat hubungan dengan pemain.

“Saya banyak ambil ilmu dari cara Venglos melatih pasukan. Sehingga hari ini, saya masih berpegang kepada falsafah yang diterapkan oleh Venglos,” tambah Mat Zan, yang pernah melatih Kuala Lumpur dari 1998 ke 2000 dan 2004 ke 2007 sambil memenangi Piala FA pada 1999.

Share this post

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin
Share on print
Share on email

News

Super League

SATU MUSIM LAGI BAGI NIK SHAHRUL

Others

DR JOZEF VENGLOS: JASAMU SENTIASA DIKENANG

Super League

LIGA SUPER MENANTI AIMAN SEKALI LAGI

Scroll to Top