Peluang Kepada Pemain Muda – Nidzam

Nidzam Adzha Yusof tidak khuatir menaruh harapan kepada pemain-pemain muda dalam usaha Kuala Lumpur mencapai matlamat untuk kembali ke Liga Super musim ini.

Dua pemain bawah-21 iaitu Izreen Izwandy dan Alif Safwan Sallahuddin telah diberi peluang membuat penampilan pertama mereka ketika KL menewaskan Kelantan United 2-0 di Kota Bharu dalam perlawanan Liga Premier pada Jumaat.

Izreen dan Alif di antara enam pemain bawah umur yang dibawa ke Kota Bharu, termasuk Azhar Apandi, Ridhwan Nazri, Arif Shaqirin Suhaimi dan penjaga gol skuad Piala Belia, Azim Al Amin Kamaruddin. Kapten skuad Piala Presiden, Azhar, telah pun melakukan dua penampilan musim lalu. Seorang lagi penjaga gol pasukan Piala Presiden, Aliff Aiman Mazlan, turut berlatih bersama skuad senior.

Jurulatih KL, Nidzam, puas hati dengan permainan Izreen dan penyerang Alif Safwan, walaupun mereka hanya masuk pada lewat perlawanan selepas menggantikan Fauzan Fauzi dan Francis Kone dalam kemenangan yang mengekalkan rekod tanpa kalah KL musim ini.

“Mereka adalah pemain yang berpotensi untuk masa depan KL sendiri. Bukan kata mesti turunkan mereka sebab kena tengok keadaan dan situasi. Kalau saya rasakan perlu, saya akan turunkan,” kata Nidzam, selepas pasukan kembali ke latihan pada Isnin.

“Walaupun sekejap mereka bermain saya berpuas hati mereka dapat menyumbang kepada pasukan. Gol kedua yang dijaringkan oleh Paulo Josue adalah selepas Izreen memenangi sepakan percuma.”

Izreen, 20, yang beraksi untuk PKNP pada 2019, gembira dapat melakukan penampilan senior pertamanya yang sedikit sebanyak mengubati kekecewaan ke atas pembatalan pertandingan Piala Presiden tahun ini disebabkan oleh wabak Covid-19.

“Rasa kecewa bila Piala Presiden dibatalkan tetapi saya bersyukur dapat peluang bermain di Liga Premier,” kata Izreen, yang bermain dalam tiga perlawanan Piala Presiden pada awal tahun sebagai pemain tengah. “Di sini, ramai pemain berpengalaman seperti Paulo dan Shukor Adan untuk tunjuk ajar dan saya mahu belajar dari mereka. Saya gembira dapat peluang ini dan saya bermain dengan keyakinan seperti mana jurulatih pesan.”

KL berjumpa Terengganu II di Cheras pada Sabtu dalam perlawanan Liga Premier seterusnya.

SPORTIMES

Share this post

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin
Share on print
Share on email

News

Others

KLFA Terima Dengan Hati Terbuka – Nokman

Others

‘Kuala Lumpur’ Akan Kekal – Nokman

Super League

Kuala Lumpur Sah Ke Liga Super 2021

Scroll to Top