Safee, Hadin Yakin Kuala Lumpur Mampu Buat Kejutan

SAFEE Sali dan Hadin Azman melahirkan keyakinan mereka yang Kuala Lumpur
FC boleh membuat kejutan dan mampu bersaing dengan pasukan-pasukan besar
di Liga Super 2021 walaupun baru naik dari Liga Premier.

Kedua-dua pemain sah akan menyertai Kuala Lumpur bagi musim 2021 dan
bagi Safee, ia mengakhiri penantian 15 tahun penyerang itu pulang ke
pangkuan pasukan asalnya.

Safee, yang menjaringkan 24 gol ketika bersama Kuala Lumpur dari 2003
hingga 2005, berasa teruja dapat bermain di Stadium Bolasepak Kuala
Lumpur di Cheras yang dipernah menjadi “rumahnya” satu ketika dulu.

“Saya berasa amat berbesar hati kembali selepas 15 tahun ke tempat
kerjaya saya bermula. Banyak kenangan saya di stadium yang bersejarah
bagi KL,” kata Safee, yang beraksi untuk Petaling Jaya City musim lalu,
di sidang media yang disiarkan secara langsung oleh Astro Arena dari
Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

“Saya berharap musim depan saya dapat membantu bangkitkan semangat dan
aura KL. Saya sangat teruja dan walaupun saya akan berumur 37 pada tahun
depan, saya masih merasakan saya berumur 17 tahun. Saya mahu buktikan
yang walaupun saya berumur, saya saya mampu menyumbang di atas padang
dan akan berusaja 100 peratus.”

Safee, yang telah menjaringkan 194 gol dalam kerjaya kelab dan pasukan
kebangsaan, yakin Kuala Lumpur mampu menghasilkan kejutan dengan
kehadiran pemain-pemain berkualiti seperti Paulo Josue, Indra Putra
Mahayuddin, Shukor Adan, Zamir Selamat dan Hadin.

“Bagi saya secara peribadi, sasaran yang realistik adalah untuk Kuala
Lumpur memberi saingan yang hebat kepada pasukan-pasukan besar di Liga
Super,” kata Safee. “Kenapa kita tidak boleh mencapai kedudukan lima
teratas? Berdasarkan kepada pemain-pemain berpengalaman yang ada di
sini, bagi saya KL boleh pergi jauh.”

Hadin, 26, yang beraksi untuk Kedah musim lalu, kembali ke ibukota
sembilan tahun selepas membantu Kuala Lumpur menjuarai Kejohanan Majlis
Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia Bawah-18 walaupun dikejar oleh
pasukan-pasukan ternama.

“Saya paling tertarik dengan visi yang dibentangkan kepada saya dan saya
betul-betul mahu menjadi sebahagian pasukan Kuala Lumpur,” kata Hadin,
yang telah menjaringkan 35 gol dalam lebih 150 perlawanan sejak menjadi
pemain professional pada 2012.

“KL adalah kampung saya dan banyak perbaharuan akan berlaku. Saya telah
ke utara dan selatan, cuma untuk KL sahaja tak dapat peluang bermain
sehingga sekarang. Saya mahu lakukan terbaik untuk KL dan saya rasa saya
di landasan yang betul.

“Saya berharap KL boleh pergi jauh dan saya berharap untuk mendapat
kembali sentuhan saya. Sasaran KL adalah untuk kekal di Liga Super tapi
sasaran peribadi saya adalah untuk menjulang satu piala.

“Saya juga berharap untuk merebut kembali tempat di pasukan kebangsaan.
Bermain untuk Malaysia adalah idaman saya tetapi saya telah
mensia-siakan peluang yang saya dapat sebelum ini. Saya percaya KL
adalah tempat di mana saya boleh dapat peluang bermain untuk Malaysia
semula.”

Share this post

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin
Share on print
Share on email

News

Super League

PEMAIN MUDA KL SAMBUT BAIK KEHADIRAN HODAK

Super League

DA SYLVA SET TO STRIKE FEAR IN DEFENCES

Super League

SEAN INTAI AKSI LIGA SUPER YANG PERTAMA

Scroll to Top