Tiga Serangkai Berumur Yang Bernilai Tidak Terhingga

KEHADIRAN Safee Sali di Kuala Lumpur FC bukan sahaja menguatkan pasukan di atas padang tetapi juga membantu menaikkan nilai komersial kelab dalam era penswastaan.

Safee, yang kembali ke pangkuan Kuala Lumpur selepas tempoh 15 tahun, berserta Shukor Adan dan Indra Putra Mahayuddin merupakan tiga serangkai yang bakal menyumbang pengalaman luas mereka kepada misi pasukan untuk kekal di Liga Super pada musim 2021.

Stanley Bernard, yang akan menjawat tugas sebagai ketua pegawai eksekutif Kuala Lumpur United Football Club Sdn Bhd secara rasminya pada 1 Januari, 2021, mahu menggunakan pengalaman tiga pemain senior ini untuk membina pasukan yang mampu bersaing untuk jangkamasa panjang.

“Safee di antara kelompok lima atau 10 penyerang terbaik dalam sejarah di negara ini. Beliau seorang pemain yang boleh memberi sumbangan dari segi pengalaman dalam Liga Super dan membantu mencapai sasaran yang ditetapkan oleh pengurusan,” kata Stanley.

“Satu faktor yang menarik Safee kepada Kuala Lumpur ialah kerana ini adalah pasukan asalnya. Saya tidak boleh menafikan beliau akan menjadi aset kepada pasukan dari segi permainan di atas padang dan dari segi nilai komersial.

“Berserta dengan Indra dan Shukor, sukar untuk memperolehi pemain yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan seperti mereka bertiga. Tidak semestinya mereka bermain setiap masa tetapi apabila di atas padang, mahupun di luar padang, mereka boleh memainkan peranan dengan membimbing pemain-pemain lain.

“Mereka seolah-olah menjadi pembantu kepada jurulatih apabila berada di atas padang dan menjadi inspirasi kepada rakan-rakan pasukan mereka.”

Faktor umur Shukor (41), Indra (39) dan Safee (36) sering menjadi perbualan ramai tetapi Stanley menegaskan yang Kuala Lumpur juga telah menyerapkan enam pemain Piala Presiden ke dalam pasukan Liga Super.

Kehadiran enam pemain-pemain muda ini dan 12 pemain lain di antara umur 23 dan 30 tahun bermaksud purata umur pemain-pemain tempatan dalam pasukan Kuala Lumpur adalah 26 tahun. Kalau Shukor, Indra dan Safee tidak di ambil kira, purata umur pemain-pemain tempatan menurun kepada 24 tahun.

“Pemain-pemain muda ini akan menjadi perbualan ramai di hujung musim apabila mereka diberi peluang untuk menunjukkan kemampuan mereka. Dengan adanya tiga pemain senior seperti Shukor, Indra dan Safee, pemain-pemain muda ini akan dapat mempelajari sesuatu,” ujar Stanley.

Stanley juga mengalukan-alukan ketibaan Hadin, yang pada umur 26 akan memasuki tahap tertinggi dari segi permainan dan fisikal.

“Kalau di lihat sebelum ini disebabkan oleh Hadin yang Felda United kekal di Liga Super pada musim 2019,” kata Stanley. “Bagi saya, jika Hadin kembali kepada tahap yang dipamerkan masa itu, beliau akan menjadi aset kepada Kuala Lumpur. Hadin masih dalam pemerhatian pasukan kebangsaan dan akan menjadi enjin penting dalam pasukan Kuala Lumpur.”

Share this post

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin
Share on print
Share on email

News

Super League

SATU MUSIM LAGI BAGI NIK SHAHRUL

Others

DR JOZEF VENGLOS: JASAMU SENTIASA DIKENANG

Super League

LIGA SUPER MENANTI AIMAN SEKALI LAGI

Scroll to Top